Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Penjawat awam bantu syarikat suami dapat kontrak RM270,000 direman SPRM

PUTRAJAYA – Seorang penjawat awam ditahan reman hari ini kerana disyaki menyalahgunakan jawatannya untuk mendapatkan kerja-kerja pembekalan barang-barang keperluan logistik sekolah untuk syarikat milik suaminya berjumlah kira-kira RM270,000.

Perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sumber berkata, suspek wanita berusia dalam lingkungan usia 40-an itu ditahan sekitar pukul 7 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2022.

“Suspek yang bertugas di sebuah sekolah di sekitar Lembah Klang dipercayai telah menggunakan jawatannya bagi membantu mendapatkan kerja-kerja pembekalan barang-barang keperluan logistik sekolah daripada syarikat milik suaminya berjumlah kira-kira RM270,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button