Berita Semasa

Malaysia sedia tingkat kerjasama dengan Rusia di semua lapangan – PM

VLADIVOSTOK – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersedia untuk meningkatkan tahap kerjasama yang lebih mantap di semua lapangan dengan Rusia.

Perdana Menteri membuat komitmen itu ketika bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kepulauan Russkiy, Vladivostok lewat petang tadi.

Anwar berkata, dalam pertemuan itu kedua-dua pihak menekuni hubungan serta tahap kerjasama yang sedia terjalin erat.

“Kami menyentuh mengenai pelbagai perkara yang menjadi kepentingan yang dikongsi secara bersama, selain menekankan wujudnya potensi atau peluang yang sedia besar namun tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kami lantas bersetuju untuk meningkatkan tahap kerjasama yang lebih mantap di semua lapangan selain akan secara bersama mempatri hubungan kerjasama yang lebih baik terutamanya di peringkat antara negara dan persahabatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Anwar turut memberi komitmen untuk menambah baik hubungan antara ASEAN dan Rusia apabila mempengerusikan ASEAN tahun depan.

“Saya turut menyatakan kepada Presiden Putin bahawa hubungan antara ASEAN dan Rusia akan diperkemas dan ditambah baik saat Malaysia mempengerusikan ASEAN kelak.

“Presiden Putin turut berkesempatan mengucapkan yang terbaik buat Malaysia untuk Kepengerusian ASEAN kelak,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button