PM X

Keputusan tidak telus kerajaan terdahulu beri peluang kroni jahanamkan syarikat kebanggaan negara

KUALA LUMPUR – Keputusan tidak telus pentadbiran terdahulu yang memberi peluang kepada beberapa kroni mengakibatkan berlaku kepincangan dalam syarikat yang menjadi simbol dan kebanggaan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat tersebut termasuk Malaysia Airlines (MAS).

“Kadang-kadang keputusan politik atau negara yang tidak telus memberikan peluang kepada satu-dua kroni menjahanamkan suatu syarikat yang dibanggakan.

“Oleh kerana kesilapan itu, syarikat tersebut terbeban kepada kita sehingga kini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang tahun ke-30 Khazanah Nasional Bhd, semalam.

Terdahulu, beberapa pakar penerbangan menyatakan MAS sedang beroperasi dalam ‘keadaan bermasalah’ akibat kekurangan rantaian bekalan, tenaga kerja, alat ganti serta kelewatan penyerahan pesawat.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan yang dibuat demi mempertahankan kepentingan kroni itu telah meminggirkan kepentingan negara serta rakyat.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata usaha untuk memulihkan syarikat penerbangan negara itu telahpun dimulakan oleh Khazanah Nasional.

“Saya ucapkan tahniah kepada Khazanah. Tetapi ia mengambil masa. Bagi kerajaan, hampir setiap minggu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, kita bicara soal pemulihan dan reformasi; bagaimana untuk membantu menyelamatkan institusi negara,” katanya.

Tegas Anwar, kerajaan komited untuk memastikan syarikat penerbangan itu memberikan perkhidmatan yang cemerlang memandangkan ia adalah syarikat penerbangan nasional negara.

Dalam pada itu, Anwar turut memuji syarikat lain di bawah kelolaan Khazanah yang mencapai kejayaan di luar negara seperti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang memiliki lapangan terbang Istabul Sabiha Gocken International di Turkiye.

“Dalam perbincangan saya dengan Presiden Turkiye Tayyip Erdogan, beliau sebut akan keyakinannya terhadap syarikat MAHB untuk mengendali dan mengurus lapangan terbang penting di Istanbul. Ini menunjukkan keupayaan syarikat-syarikat di bawah kelola Khazanah,” ujar beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button