Berita SemasaJenayah & Mahkamah

33 termasuk doktor kanan direman kes tuntutan Perkeso palsu

PULAU PINANG – Seramai 33 individu termasuk tiga doktor kanan hospital di neger ini ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat mengemukakan dokumen tuntutan Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mengandungi butir matan palsu.

Seorang suspek wanita berusia dalam lingkungan 30-an direman selama satu hari manakala 32 suspek lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 60-an pula direman antara dua hingga tiga hari.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan sekitar pukul 1 hingga 8 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.

Kata sumber, operasi khas tersebut dijalankan dengan kerjasama SPRM Pulau Pinang dan PERKESO.

“Kesemua suspek dipercayai telah bersubahat dengan ejen atau ‘runner’ dan juga pegawai perubatan daripada hospital awam dan swasta sekitar Pulau Pinang bagi mengemukakan dokumen berkaitan tuntutan HUK kepada PERKESO yang dipercayai mengandungi butir matan palsu.

“Selain tangkapan semalam, SPRM turut menyita wang tunai, barang kemas, dua buah beg berjenama, kenderaan mewah, nombor plat kenderaan mewah, 33 buah telefon bimbit dan barangan mewah yang jumlah kesuluruhannya bernilai kira-kira RM500,000.

“Siasatan awal turut mendapati nilai wang rasuah yang terlibat dalam kegiatan ini berjumlah kira-kira RM2 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button