Berita SemasaPM X

PM harap lebih banyak peluang pendidikan di New Zealand untuk pelajar Malaysia

KUALA LUMPUR – Malaysia berharap lebih ramai pelajar dari negara ini diberi peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang baharu ke New Zealand.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan di Facebooknya berkata, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, beliau telah menyuarakan hasrat supaya New Zealand melonggorkan kemasukan pelajar Malaysia ke negara itu.

Beliau berkata, antara bidang yang menjadi tumpuan adalah bagi program pascasiswazah dalam bidang-bidang baharu berkaitan dengan peralihan tenaga dan teknologi makanan.

“Pada masa yang sama saya juga ingin menjemput pelajar New Zealand untuk memohon Biasiswa Antarabangsa Malaysia dan menimba pengalaman mengenai kepelbagaian budaya dan warisan di negara ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau malam tadi.

Anwar Ibrahim ketika Jamuan Makan Tengahari bersama Christopher Luxon di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena kunjungan Luxon yang mengadakan lawatan rasmi ke negara ini selama tiga hari bermula semalam.

Anwar berkata, kunjungan rakan sejawatnya itu diharap dapat meningkatkan kerjasama dan perbincangan dua hala antara Malaysia dan New Zealand khususnya dalam perdagangan, pelaburan, penyelidikan dan industri halal.

Katanya, peluang melalui kerjasama hasil daripada hubungan baik itu akan disegerakan bagi memperoleh manfaat secara bersama.

“Saya tekankan, meskipun potensi dan hubungan baik yang dinikmati selama ini namun agak malang jika kedua-dua negara masih belum dapat mengambil langkah untuk memperkukuh kerjasama itu.

“Justeru saya maklumkan bahawa saya akan mengadakan mesyuarat Kabinet esok bagi mendapatkan nasihat mengenai perkara yang perlu dilakukan dengan pantas bagi mengorak laluan untuk jalinan dan persahabatan yang lebih erat dengan New Zealand,” katanya.

Sementara itu Luxon menyifatkan Malaysia sebagai rakan Asia tertua New Zealand.

Mengenai isu Israel-Palestin, Malaysia dan New Zealand menyatakan harapan untuk gencatan senjata di Gaza yang akan membawa kepada keamanan yang berkekalan dan mampan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button