Berita Semasa

MoU antara KUSEL, UiDA manfaatkan penduduk Selangor, Kedah

SHAH ALAM – Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Utiliti Infra Darul Aman (UiDA) untuk berkongsi dan bertukar kepakaran, teknologi, jaringan perkhidmatan dan khidmat nasihat.

Majlis tandatangan MoU tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan KUSEL, Khairul Azmi Misran manakala UiDA diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Ahmad Taufik Radzi.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam ucapannya, Khairul Azmi menjelaskan, KUSEL berperanan sebagai ‘One-Stop Agency’ (OSA) dalam penyelarasan dan pengurusan koridor utiliti serta pemudah cara dalam proses permohonan permit utiliti di negeri Selangor.

“Melalui usaha sama ini, KUSEL akan berkongsi kepakaran yang ada, serta menawarkan sokongan dan khidmat nasihat yang berupaya memperkasa pengetahuan dalam pengurusan strategik infrastruktur utiliti.

“Hal ini akan memberikan manfaat dua hala bukan hanya kepada KUSEL dan UiDA, malah kepada rakyat negeri Selangor dan Kedah,” kata Khairul Azmi.

Tambahnya, kepakaran KUSEL dalam menguruskan utiliti di Selangor dapat memberi panduan kepada UiDA dalam membentuk peranannya sebagai agensi penyelaras bagi pembangunan infrastruktur utiliti di Kedah.

Show More

Related Articles

Back to top button