Sukan

Malaysia jadi pilihan Khabib Nurmagomedov adakan program bual bicara

KUALA LUMPUR – Bintang sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA) Khabib Nurmagomedov bakal membuat penampilan sulungnya di Malaysia menerusi program bual bicara yang diberi nama ‘Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia 2024’.

Acara yang dianjurkan oleh Faith Events itu bakal menampilkan Khabib yang merupakan bekas pemegang tali pinggang lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) pada 29 September ini.

Ketua Pegawai Operasi Faith Events, Munira Mustafa berkata, tujuan acara ini diadakan adalah untuk memberi inspirasi kepada orang ramai mengenai apa yang diperlukan untuk menjadi ‘juara’.

“Beliau terkenal di seluruh dunia, bukan hanya kerana kemahiran bertarungnya tetapi juga sebagai seorang yang sentiasa mendalami agama dan dermawan,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Faith Events, Khairul Amar Razali dan Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia 2024 bakal diadakan pada 29 September ini di Pusat Dagangan Dunia (PWTC). – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Mengulas lanjut, Khairul Amar berkata, kedatangan Khabib ke Malaysia mampu meningkatkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa, lebih-lebih lagi beliau mempunyai lebih 37 juta pengikut di Instagram.

“Dengan kedatangan Khabib, beliau akan bawa impak di peringkat global dengan memperkenalkan lagi Malaysia di mata dunia menerusi UFC walaupun dia sudah bersara,” katanya.

Bercerita mengenai usaha untuk membawa Khabib ke Malaysia, Khairul berkata, pihaknya telah menghubungi Khabib sejak 2021, namun baru kini berhasil, memandangkan beliau sudah bersara dari arena seni bela diri sebagai petarung.

“Khabib memang sibuk sejak menang tali pinggang lightweight dan tidak mudah untuk dapatkan dia datang ke sini tapi bila bercakap mengenai Malaysia, beliau berminat kerana sedia maklum beliau juga seorang muslim,” katanya.

Sementara itu, Khairul berkata, acara Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia 2024 mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan lebih 1,500 tiket sudah terjual daripada 3,000 tempat duduk yang disediakan.

Sebagai rekod, Khabib membuat penampilan sulung di UFC pada 2011 dan bersara sebagai juara kelas lightweight yang tidak pernah kalah pada 2021 dengan rekod menakjubkan 29-0.

Acara eksklusif bersama Khabib itu juga akan menampilkan Alif Satar sebagai pengacara dan Atlet Muay Thai negara, Johan Ghazali (Jojo) sebagai tetamu khas.

Kemasukan ke acara ini adalah melalui pembelian tiket yang bermula dengan harga RM159, RM259, RM399, RM499, RM1,699 dan RM1,699 di https://khabibmalaysia.com/

Show More

Related Articles

Back to top button