Politik

Negeri ditadbir PN bentuk syarikat SG4 untuk kongsi kekayaan bersama – Tun M

BANGI – Sebuah syarikat yang diberi nama SG4 Group Sdn Bhd telah ditubuhkan oleh empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebagai tanda kerjasama dalam perkongsian kekayaan.

Perkara tersebut dimaklumkan bekas Perdana Menteri merangkap penasihat kumpulan Kerajaan Empat Negeri (SG4), Tun Dr.Mahathir Mohamad.

Menurut Dr. Mahathir, SG4 yang dianggotai Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis akan akan memiliki kepentingan yang sama dalam syarikat tersebut.

“Syarikat itu dimilik 25 peratus oleh setiap negeri supaya negeri yang ketinggalan jauh pun, macam Perlis, boleh dapat hasil. Syarikat dah ditubuhkan dan sudah mulakan kerjasama.

“Kita juga akan berusaha supaya segala hasil yang kita dapat akan diagih kalau negeri yang ketinggalan jauh macam Perlis dia boleh dapat hasil daripada pakatan empat negeri ini,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr. Mahathir menghadiri sidang Kemuncak Kesatuan Kerajaan Empat Negeri (SG4) di Hotel Tenera, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panel Penasihat SG4, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mengulas mengenai model perniagaan yang akan dijalankan oleh syarikat itu, Dr. Mahathir berkata, unsur nadir bumi (REE) akan menjadi salah satu fokus utama SG4 dalam menarik pelaburan asing ke semua negeri anggota.

“Kita percaya REE ini satu punca kekayaan bukan terdapat sama rata di empat buah negeri. Satu negeri mungkin lebih daripada lain. Jadi dalam syarikat ini kita agih hasil secara sama rata,” katanya.

Tambah Setiausaha Eksekutif SG4, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, SG4 Group Sdn Bhd telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada beberapa bulan lepas.

“Kita akan fokus lima sektor iaitu kuster infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan industri; pertanian dan keselamatan makanan; pendidikan dan modal insan serta sumber pendapatan baharu,” kata Takiyuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button