Berita Semasa

Kecewa ada lelaki masih ‘keras kepala’ naiki koc wanita

Bekas personaliti TV kongsi kumpulan remaja lelaki provokasi ibunya setelah ditegur

KUALA LUMPUR – Seorang bekas personaliti televisyen kesal dengan sikap ‘keras kepala’ segelintir lelaki yang berdegil dan masih lagi memasuki koc wanita yang disediakan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya, Sheahnee Iman Lee berkongsi insiden yang berlaku pada 31 Ogos lalu, di mana ibunya yang berusia 72 tahun menerima provokasi daripada sekumpulan remaja lelaki selepas ditegur supaya meninggalkan koc yang dikhaskan untuk wanita sahaja.

Menurut Sheahnee, ibunya yang berasal dari Australia menggunakan perkhidmatan KTM dari stesen Klang ke Kuala Lumpur ketika kejadian itu berlaku.

“Dia menggunakan koc wanita, sesuatu yang kami minta dia lakukan setiap kali keluar bersendirian. Namun di dalam kos itu dipenuhi dengan sekumpulan remaja lelaki, melebihi bilangan kaum wanita.

“Ibu saya, seorang guru selama 40 tahun menegur mereka bahawa ia adalah koc wanita, sesuatu yang sudah diketahui, dengan tulisan Koc Wanita di mana-mana sahaja sama ada dalam English atau BM.

“Tapi apa yang budak-budak ini jawab? Mereka dengan biadap menjawab ‘kami adalah rakyat Malaysia’ dan ‘Ini adalah negara saya!’,” kata Sheahnee.

Sheahnee kemudiannya memberitahu, pihak KTM telah memberikan maklum balas berhubung insiden itu tersebut dan memaklumkan semua keretapinya mempunyai butang interkom dan orang ramai boleh mendapatkan bantuan jika berlaku sebarang insiden atau kecemasan.

Bagaimanapun, Sheahnee berkata, penggunaan butang tersebut kurang efisyen apatah lagi jika seorang wanita itu diprovok oleh sekumpulan lelaki dan bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

“Saya cadangkan KTM sentiasa lakukan pemeriksaan mengejut secara berkala di semua stesen suapaya koc wanita tidak salahgunakan. Biarlah lelaki tak malu ni, (ada) rasa segan sikit.

“Kepada remaja lelaki yang berada dalam keretapi dengan ibu saya, tolonglah ambil iktibar daripada insiden ini. Awak masih muda, tak terlambat lagi untuk perbaiki diri. Berubahlah anak muda, be better, be more, awaklah skuad pelapis negara kita!” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button