Berita SemasaLuar Negara

Duta Malaysia di Jerman sambut Hari Kebangsaan

BERLIN – Kedutaan Besar Malaysia di Jerman telah menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan yang penuh warna-warni dengan konsep unik ‘Jiwa Merdeka’.

Program yang menggabungkan budaya Malaysia dengan pengalaman di Berlin itu menarik perhatian ramai apabila rakyat Malaysia di Jerman bersama-sama menaiki kereta api yang bertemakan ‘Bahn Sarong’.

Duta Besar Malaysia ke Jerman, Adina Kamarudin berkata, acara tersebut bermula dengan meriah dari stesen utama Berlin, di mana peserta mengenakan sarung sambil menikmati perjalanan istimewa yang membawa mereka merentasi bandaraya Berlin.

“Puncak acara itu adalah ketika rombongan berhenti di Brandenburger Tor, mercu tanda terkenal yang menjadi simbol sejarah dan kemodenan kota Berlin.

“Perjalanan itu kemudian diakhiri dengan majlis resepsi berkonsepkan perkelahan musim panas di Rumah Malaysia, kediaman rasmi Duta Besar Malaysia,” katanya kepada Malaysia Tribune semalam.

Pada sambutan Kemerdekaan itu, Adina menyampaikan pesanan kepada warga Malaysia di German tentang pentingnya makna sebenar kemerdekaan.

Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan keharmonian antara kaum sebagai asas kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara.

“Semangat merdeka bukan sekadar perayaan tetapi tanggungjawab kita semua untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan Malaysia terus terpelihara,” ujar beliau.

Acara Jiwa Merdeka itu bukan sahaja berjaya mengeratkan hubungan sesama rakyat Malaysia di perantauan tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk merasai keunikan budaya tanah air dalam suasana yang berbeza, jauh di negara orang.

Show More

Related Articles

Back to top button