Berita SemasaSukan

24 pasukan berentap sempena Hari Kebangsaan di Padang Polo

GEORGETOWN – Kejohanan Bola Sepak Anak-anak Merdeka 2024 berlangsung dengan penuh semangat perpaduan apabila 24 pasukan bola sepak dari seluruh negara berentap di Padang Polo, sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 Malaysia, semalam.

Acara yang dianjurkan oleh Kelab Sukan Rekreasi Padang Polo (PPSRC) itu menyaksikan kira-kira 288 peserta muda tampil mempamerkan bakat dan kemahiran mereka.

Program itu bertujuan memupuk semangat kesukanan dan menyemarakkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan generasi muda, seiring dengan semangat kemerdekaan.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, yang merasmikan kejohanan tersebut menyatakan rasa bangganya terhadap komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta.

“Sukan adalah elemen penyatuan yang mampu membina perpaduan dalam kalangan belia kita. Saya amat gembira melihat semangat dan bakat yang dipamerkan.

“Marilah kita terus memupuk nilai-nilai ini dan memastikan semangat Merdeka sentiasa segar dalam diri kita,” katanya dalam satu siaran media hari ini.

Kejohanan itu turut mempamerkan penyertaan aktif pemain bola sepak perempuan membuktikan sukan itu semakin diterima ramai.

Terdapat dua kategori dipertandingkan iaitu Bawah 12 (U12) dan Bawah 10 tahun (U10).

Kategori U12 menyaksikan pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala, dan pingat bagi Johan; RM1,000 untuk Naib Johan, RM500 untuk Tempat Ketiga dan pingat untuk Tempat Keempat.

Kategori U10 pula menawarkan RM1,200 untuk Johan, RM600 untuk Naib Johan, RM300 untuk Tempat Ketiga, dan pingat untuk Tempat Keempat.

Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir serta Penjaga Gol Terbaik Perlawanan Akhir turut diberikan bagi kedua-dua kategori.

Syerleena berkata, semua peserta yang mengambil bahagian diberikan e-sijil sebagai pengiktirafan terhadap penglibatan mereka dalam kejohanan itu.

“Hadiah yang disampaikan bukan sahaja untuk mengiktiraf bakat, tetapi juga untuk menggalakkan penglibatan berterusan dalam sukan dan aktiviti kemasyarakatan.

“Kejohanan ini diharap dapat terus mengeratkan hubungan antara komuniti pelbagai kaum selain menyemai nilai-nilai perpaduan, kerjasama dan toleransi dalam kalangan generasi muda, sejajar dengan semangat kemerdekaan yang kita kecapi,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button