Berita Semasa

Tanah jerlus: Sekatan sepanjang 15 meter dikesan dalam laluan kumbahan IWK

KUALA LUMPUR – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya mengesan sekatan sepanjang 15 meter dalam laluan kumbahan dari lokasi tanah runtuh hingga ke Wisma Yakin.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk TS Nor Hisham Mohammad, berkata sekatan tersebut ditemui selepas pasukan SAR cuba menghanyutkan dua tong dari lubang korekan, namun tong berkenaan gagal sampai ke Loji Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam.

“Setelah meneliti gerakan kamera, kami mendapati terdapat halangan dalam paip kumbahan kira-kira 7.6 meter dari lurang kumbahan di Wisma Yakin. Kami mengesan sekatan sepanjang 15 meter,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, pasukan SAR kini akan memulakan operasi mengeluarkan sekatan tersebut secara perlahan-lahan dari Wisma Yakin.

“Usaha untuk merungkaikan sekatan itu telah dimulakan pada pukul 5 petang tadi sekiranya, berjaya diatasi kita akan dapat melihat keseluruhan permukaan kawasan berkenaan,” tambahnya.

Nor Hisham juga menekankan bahawa paras air yang terkumpul di dalam sekatan tersebut berpotensi menimbulkan risiko tinggi kepada pasukan SAR, justeru kerja-kerja mengalihkan sekatan perlu dilakukan dengan berhati-hati.

“Kami bimbang dengan tekanan air yang terkumpul, dianggarkan sekitar 100 tan kuasa air. Jika sekatan ini diatasi, tekanan air yang tinggi boleh membawa risiko besar,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa selepas paras air dikurangkan pasukan SAR akan menggunakan teknik jetting bertekanan tinggi oleh IWK untuk melancarkan aliran di lokasi tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button