Berita SemasaSukan

Persatuan gagal patuhi garis panduan sukan drag, motocross akan disenarai hitam, tidak terima geran

BUKIT JALIL – Mana-mana persatuan yang gagal mematuhi garis panduan sukan drag dan motorcross akan disenarai hitam sekali gus tidak layak menerima geran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, syarat ini dibuat bagi memastikan pihak yang mahu menganjurkan sukan perlumbaan itu dapat menitikberatkan soal pematuhan garis panduan lebih komprehensif seperti disediakan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

“Daripada segi penguatkuasaan, kita (KBS) akan buat laporan polis jika ia (pelanggaran garis panduan) berlaku sementara Pesuruhjaya Sukan (PJS) boleh senarai hitam mana-mana persatuan atau kelab yang degil dapatkan sanksi dan mereka tidak akan dapat peruntukan itu.

“Kita akan cari jalan untuk pastikan hanya yang betul bertanggungjawab sahaja dalam industri sukan ini boleh bergiat dalam sukan permotoran,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancaarkan buku garis panduan tersebut, di sini hari ini.

Garis panduan yang dikemaskini tersebut meliputi aspek pengenalan, perundangan, penguatkuasaan, keselamatan dan pengendalian penganjuran bagi kedua-dua disiplin sukan permotoran yang cukup popular itu bertujuan mewujudkan persekitaran lebih selamat serta terkawal.

Sementara itu, Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, dalam masa sama, mana-mana perlumbaan berkaitan drag dan motocross yang tidak mendapat kelulusan daripada KBS akan diiktiraf sebagai lumba haram.

“Dengan pelaksanaan garis panduan ini, MAM sentiasa peka dan meletakkan garis panduan ini keutamaan bagi setiap penganjuran perlumbaan terutamanya drag dan motocross.

“Tumpuan kepada keselamatan dan profesionalisme akan memupuk komuniti sukan permotoran yang lebih mampan dan inklusif yang boleh berkembang maju untuk tahun-tahun akan datang,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button