Berita SemasaPM X

Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 turut diisi bicara eksklusif mengenai insiden Lahad Datu

PUTRAJAYA – Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 tahun ini akan turut menampilkan segmen bicara eksklusif ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama – Mengimbau Insiden Lahad Datu’.

Segmen bicara eksklusif itu akan menampilkan beberapa ahli panel antaranya mantan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohd Rodzi Saad, serta anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia yang terlibat semasa insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

Berlangsung selama kira-kira satu jam, majlis yang diterajui Kementerian Perpaduan itu akan turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan yang akan diikuti dengan acara kemuncak iaitu ucapan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majlis yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, esok menyasarkan kehadiran 7,350 tetamu terdiri daripada pelbagai agensi antaranya penjawat awam, warga pendidik di peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi, majlis perwakilan pelajar, pesara polis dan badan bukan kerajaan.

Perdana Menteri juga akan menyerahkan Jalur Gemilang kepada anak-anak Malaysia yang terdiri daripada pelajar taman didikan kanak-kanak, sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pendidikan tinggi dan belia sebagai simbolik perasmian majlis amanat itu.

Diadakan sehari sebelum sambutan acara tahunan nasional negara, majlis amanat itu menjadi platform bagi membangkitkan semangat patriotik dan menyemarakkan penghayatan kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya generasi baharu, selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Madani: Jiwa Merdeka.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini adakan disambut di Dataran Putrajaya. Ia dianjurkan di sini (Putrajaya) buat julung kalinya pada 2003, seterusnya pada 2005, 2018, 2019 dan 2023.

Show More

Related Articles

Back to top button