Berita Semasa

Lelaki nyaris terjerlus lubang benam peluk Islam

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang turut nyaris terjerlus ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India, Jumaat minggu lalu, difahamkan sudah memeluk agama Islam.

Perkara itu disahkan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, yang membantu urusan lelaki dikenali sebagai Kalidass, 48, melafaz dua kalimah syahadah di pejabat Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara di sini, dengan nama Islamnya, Haridath.

“ABIM mengesahkan Haridath memeluk Islam, Isnin lalu. Beliau datang sendiri untuk bertemu kami dan menyatakan hasratnya itu.

“Beliau juga memaklumkan sudah lama berniat untuk memeluk Islam. Beliau datang dalam keadaan bersedia, malah hadir bersama-sama dua saksi yang merupakan kenalannya.

“Cuma peristiwa hampir terjatuh ke dalam lubang akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India itu menjadi ‘wake up call’ untuk beliau tidak bertangguh lagi,” katanya, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan mengenai seorang lelaki yang berada hampir dengan wanita warga India jatuh dan hilang dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India telah memeluk Islam.

“Mungkin asbab kejadian itu, beliau mendapat hidayah daripada Allah SWT untuk terbuka hati terus memeluk agama Islam,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap semua pihak memberi ruang kepada saudara baharu itu untuk bertenang, sekali gus mendoakan dan menghormati privasi Haridath.

“ABIM menegaskan bahawa sesungguhnya, mempunyai agama adalah hak dan fitrah semula jadi manusia. Justeru, sudah semestinya tiada siapa pun yang boleh memaksa atau dipaksa dalam perkara beragama.

“Pada masa sama, kami mendoakan operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India berjalan lancar dan mangsa dapat ditemukan segera.

Show More

Related Articles

Back to top button