Berita Semasa

Kerajaan tidak berhasrat tangguh kerangka kawal selia media sosial

SEPANG – Kerajaan tidak berhasrat menangguhkan pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet mulai 1 Januari tahun depan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi, tindakan Gabungan Internet Asia mengutuskan surat terbuka termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan kerangka kawal selia itu sebagai satu tindakan yang pelik.

“Saya berpendirian bahawa dalam perbincangan saya bersama wakil syarikat (platform media sosial dan pesanan internet) sewaktu bertemu di Singapura, mereka menyatakan pandangan yang positif dan saya kekal dengan pendirian itu.

“Ia agak pelik malah agak janggal apabila Grab mengeluarkan kenyataan, mereka tak ada kaitan (dengan surat diutuskan AIC), tak dibincang dan ini kita serah kepada AIC untuk menjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Temu Mesra Masyarakat Kampung Orang Asli Kelinsing di sini, semalam.

Dalam surat terbuka tersebut, AIC meminta kerajaan menangguhkan rancangan mewajibkan permohonan lesen oleh semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurang lapan juta pengguna berdaftar di negara ini.

AIC yang dianggotai Google, Meta, X, Apple Inc, Amazon dan Grab, mendakwa langkah pelesenan itu ‘tidak boleh dilaksanakan’ bagi industri berkenaan dan boleh mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar terhadap perniagaan.

Walau bagaimanapun, anggota gabungan itu, Grab menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya tidak terbabit dalam perihal surat terbuka AIC kepada Perdana Menteri Jumaat lalu.

Grab berkata, pihaknya tidak dimaklumkan atau dirunding berhubung surat berkenaan yang menyentuh mengenai kerangka kawal selia kerajaan ke atas platform media sosial dan pesanan Internet.

Show More

Related Articles

Back to top button