Berita Semasa

Baik pulih longkang runtuh di Kampung Kerinchi ambil masa 3 minggu

KUALA LUMPUR – Proses pembaikan longkang yang runtuh sehingga membentuk lubang besar di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, pada Isnin lalu dijangka mengambil masa selama tiga minggu.

Ahli Parlimen Pantai Dalam, Fahmi Fadzil berkata, jaminan itu diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa ketika meninjau runtuhan itu.

“Singgah di Jalan Pantai Permai petang tadi, meninjau keadaan sistem perparitan yang runtuh baru-baru ini.

“Insiden ini berpunca dari saliran paip berdekatan yang pecah.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) memaklumkan bahawa pembaikan akan dilakukan segera dan akan mengambil masa lebih kurang tiga minggu,” katanya dalam satu hantaran dalam laman media sosialnya.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati, terutama sekali bila berdepan dengan lokasi yang terdapat tanda-tanda mendapan tanah.

Pada hujung minggu lalu, negara digemparkan dengan insiden seorang wanita warga India yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, terjerumus lalu hilang ke dalam lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Selang beberapa hari kemudian sekali lagi negara dikejutkan dengan runtuhan longkang sehingga membentuk lubang besar di Jalan Pantai Permai.

Bagaimanapun dalam kejadian itu tiada nyawa atau harta benda yang terlibat.

Show More

Related Articles

Back to top button