Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Remaja orang asli didakwa bunuh kanak-kanak OKU

SUNGAI SIPUT – Remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh kanak-kanak perempuan Orang Asli yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan lembam.

Tertuduh yang berusia 17 tahun itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, memetik laporan Harian Metro hari ini.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Nuraina Humaira Rosli, 10, di kawasan paya Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Lasah di sini, antara 2.30 petang hingga 5 petang, 16 Ogos lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan minimum 12 sebatan, jika disabitkan.

Bagi pesalah kanak-kanak hendaklah ditahan di penjara selama mana diperkenan mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya RS Vitthiyeswary, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 28 Oktober depan sebagai sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia, patologi, asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan prestasi pelajar.

Pada 17 Ogos lalu, mayat Nuraina Humaira yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu ditemukan di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah kira-kira 4.20 petang, selepas semalaman dilapor hilang.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin dilaporkan berkata, hasil bedah siasat menemukan kesan koyakan pada kemaluan mangsa yang memungkinkan mangsa dirogol, selain tekanan di bahagian leher.

Show More

Related Articles

Back to top button