Berita Semasa

Pastikan operasi dijalankan sejajar dengan undang-undang, peraturan setempat – jawab MCMC terhadap AIC

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan media sosial dan internet dengan lapan juta pengguna dibuat berdasarkan keperluan untuk mengawal selia penyedia perkhidmatan yang memberi impak signifikan kepada ekosistem digital Malaysia.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, permohonan lesen itu hanya terpakai kepada penyedia perkhidmatan dan tidak melibatkan pengguna akhir.

Katanya, langkah itu adalah untuk mewujudkan ekosistem digital yang selamat, inovatif dan inklusif yang memberi manfaat kepada semua pengguna.

“Rangka kerja kawal selia ini diperkenalkan sebagai langkah penting ke arah menjadikan perkhidmatan dalam talian yang lebih selamat termasuk menangani perjudian dalam talian, penipuan dan pornografi.

“Rangka kerja kawal selia ini direka untuk memastikan ekosistem dalam talian kekal terbuka, selamat dan boleh dipercayai untuk semua pengguna sambil menggalakkan inovasi dan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MCMC, selepas rangka kerja kawal selia itu mendapat kelulusan daripada Kabinet pada 8 Mac lalu, pihaknya secara konsisten terlibat perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk penyedia perkhidmatan, pertubuhan masyarakat (CSO), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Agensi Penguatkuasaan Undang-undang (LEA).

Pada masa sama katanya, MCMC turut menjalankan pendengaran awam untuk mendapatkan maklum balas daripada semua pihak yang berkaitan untuk memastikan rangka kerja akhir itu adil, berkesan dan reflektif kepada keperluan industri dan orang ramai.

“Penglibatan berterusan ini sangat penting dalam membangunkan rangka kerja kawal selia yang menangani keperluan dan kebimbangan semua pihak.

“MCMC telah menyediakan tempoh selama lima bulan untuk memberi masa yang mencukupi kepada penyedia platform untuk mematuhi keperluan pelesenan. Dalam tempoh ini, MCMC akan terus terlibat secara aktif dengan penyedia perkhidmatan untuk memudahkan peralihan yang lancar ke dalam rangka kerja kawal selia baharu menjelang 1 Januari 2025,” katanya.

Sementara itu katanya, MCMC menggesa penyedia perkhidmatan untuk berusaha sedaya upaya untuk memastikan operasi yang dijalankan sejajar dengan undang-undang dan peraturan setempat.

Katanya, perincian lanjut mengenai rangka kerja kawal selia dan maklum balas MCMC kepada isu yang dibangkitkan oleh Gabungan Internet Asia (AIC) minggu lalu boleh didapati di laman web MCMC melalui pautan https://www.mcmc.gov.my/en/media/press-releases/mcmc-commitmentto-a-safe-and-inclusive-online.

Minggu lalu AIC, menggesa kerajaan menangguhkan rancangan mewajibkan permohonan lesen oleh semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurang lapan juta pengguna berdaftar di negara ini.

AIC yang dianggotai Google, Meta, X, Apple Inc, Amazon dan Grab membuat gesaan itu melalui surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.

AIC mendakwa langkah pelesenan itu ‘tidak boleh dilaksanakan’ bagi industri berkenaan dan boleh mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar terhadap perniagaan.

Media sebelum ini melaporkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang memiliki sekurang-kurang lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

MCMC memaklumkan, langkah itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2025, susulan satu kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan internet diperkenalkan mulai 1 Ogos lalu.

Penguatkuasaan itu selaras keputusan Kabinet bahawa perkhidmatan media sosial dan pesanan internet di negara ini perlu mematuhi undang-undang Malaysia.

Kegagalan mana-mana perkhidmatan berkenaan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa, adalah kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588.

Show More

Related Articles

Back to top button