Berita Semasa

Literasi digital ‘perisai’ ampuh buat belia hadapi dunia digital – MCCF

BUKIT JALIL – Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCF) mencadangkan literasi digital dapat dimasukkan sebagai salah satu sukatan pelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Presidennya, Mohamad Sirajuddin Jalil berkata, literasi digital merupakan satu ‘perisai’ yang ampuh buat para belia menghadapi dunia digital yang berkembang dengan terlalu pesat.

“Generasi sebelum ini tiada pendidikan rasmi mengenai kepenggunaan digital.

“Generasi sekarang, sentiasa terdedah dengan teknologi digital dan pada masa akan datang, teknologi akan lebih berkembang dan memungkinkan apa sahaja.

“Kita mahukan satu sistem (pendidikan) yang terurus supaya masyarakat terutamanya belia ada asas, dapat berfikir dan dididik supaya berilmu dalam menggunakan teknologi,” katanya.

Mohamad Sirajuddin berkata demikian ketika muncul sebagai salah seorang panel dalam forum berjudul ‘Media Sosial: Ancaman atau Pelindung Belia Milenium’, di sini hari ini.

Panelis lain dalam forum tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF), Mediha Mahmood; dan Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Dr Noor Nirwandy Mat Nordin.

Forum tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian pada Program Persidangan Meja Bulat (RTD) Siri 2/2004 yang mengutarakan tema ‘Keselamatan Digital: Enigma Anak Muda’.

Dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan elia Malaysia (IYRES), program selama satu hari ini dilaksanakan dengan tujuan untuk mengumpul idea, pandangan dan cadangan golongan belia dan pemegang taruh bagi mengangkat suara dan hasrat golongan belia berkaitan isu keselamatan digital, pengembangan Kecerdasan Buatan (Al) dan pengaruh media sosial kepada golongan belia.

Show More

Related Articles

Back to top button