Berita Semasa

Kerajaan peruntuk RM2.5 juta bantu Kampung Orang Asli Kelinsing – Fahmi

SEPANG – Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan kerajaan bagi pembinaan pelbagai kemudahan infrastruktur buat Orang Asli di Kampung Orang Asli Kelinsing, di sini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pembinaan pelbagai kemudahan itu adalah bagi
memenuhi keperluan penduduk kampung, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

Jelas Fahmi, pembinaan tersebut merangkumi balai budaya, kantin, tandas awam serta ruang niaga yang dalam kawasan kompleks budaya kampung tersebut.

“Pusat ini boleh bertindak dalam menyalurkan maklumat yang tepat kepada rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar agar semua lapisan masyarakat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi taklimat mengenai pembinaan pelbagai kemudahan buat penduduk Kampung Orang Asli Kelinsing. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Terdahulu, Fahmi meluangkan masa bertemu masyarakat Kampung Orang Asli Kelinsing yang juga merupakan kampung angkat Kementerian Komunikasi di bawah Program Kampung Angkat Madani.

Dalam Belanjawan 2024 lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan Program Kampung Angkat Madani yang memberikan tumpuan kepada melengkapkan kemudahan asas termasuk Internet di kawasan desa yang terpinggir

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga akan membina sebuah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi).

Katanya, Ia adalah bagi membantu merapatkan jurang digital dan pengetahuan di kampung berkenaan yang menjadi Kampung Angkat Madani Kementerian Komunikasi.

“MCMC berusaha untuk menyediakan internet yang lebih laju di kampung ini dengan adanya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi),” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button