Berita Semasa

Kampung angkat Kementerian Komunikasi di Sepang bakal dilengkapi Nadi

SEPANG – Kerajaan akan membina Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di Kampung Orang Asli Kelinsing, di sini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pembinaan pusat sebaran maklumat itu bakal merapatkan jurang digital dan pengetahuan di kampung berkenaan yang menjadi Kampung Angkat Madani Kementerian Komunikasi.

“MCMC berusaha untuk menyediakan internet yang lebih laju di kampung ini dengan adanya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi),” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Fahmi meluangkan masa bertemu masyarakat Kampung Orang Asli Kelinsing bagi membincangkan mengenai pembinaan kemudahan di kampung itu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi bersama wakil penduduk Kampung Orang Asli Kelinsing. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Fahmi berkata, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan kerajaan bagi pembinaan kemudahan merangkumi balai budaya, kantin, tandas awam serta ruang niaga di kampung berkenaan.

Mengulas dengan lebih lanjut, Fahmi berkata, Nadi di kampung angkat itu bakal dilengkapi dengan sepuluh komputer riba berkelajuan 100 Mbps yang boleh dimanfaatkan secara percuma oleh penduduk kampung.

“Kita juga berharap warga setempat akan diberi sedikit pemahaman dan kesedaran tentang cara-cara untuk menggunakan internet dengan lebih selamat. Untuk elak menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan dalam talian.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan dalam usaha merancakkan ekonomi penduduk di kampung tersebut, Kementerian Komunikasi bakal membuat tempahan cenderamata untuk diberikan semasa mesyuarat yang dihoskan kementerian itu.

“Kementerian Komunikasi akan menempah cenderamata bagi tujuan sempena Persidangan ASEAN iaitu mana-mana mesyuarat yang dihoskan Kementerian Komunikasi kita akan beri cenderamata dari Kampung Orang Asli Kelinsing,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button