Berita Semasa

Arkitek cipta reka bentuk Masjid Negara meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Salah seorang daripada arkitek Masjid Negara, Datuk Baharuddin Abu Kassim, 95, dilaporkan telah meninggal dunia, hari ini.

Berita pemergian itu telah dikongsikan bekas Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia Prof Sarly Adre Sarkum di laman sosial Facebooknya sebentar tadi.

Jelasnya, Malaysia telah kehilangan seorang tokoh yang disegani dalam komuniti seni bina, Datuk Baharuddin Abu Kassim.

Katanya, visi dan dedikasi beliau, antaranya diterjemahkan melalui reka bentuk Masjid Negara yang sentiasa memberi inspirasi kepada generasi arkitek dan rakyat Malaysia.

“Semoga Allah SWT mengurniakan beliau tempat yang tertinggi di syurga dan mengurniakan kesabaran serta kekuatan kepada keluarganya dalam saat yang sukar ini. Al-Fatihah,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Baharuddin merupakan salah seorang arkitek utama daripada Bahagian Rekabentuk dan Penyelidikan, Jabatan Kerja Raya Persekutuan yang mencipta reka bentuk Masjid Negara.

Dua lagi arkitek adalah Hisham Albakri dan seorang arkitek dari United Kingdom, Howard Ashley.

Pembinaan Masjid Negara bermula 1963 di atas tanah seluas 5.2 hektar itu mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

Show More

Related Articles

Back to top button