Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Sindiket bawa masuk warga asing, warga Myanmar direman SPRM

PUTRAJAYA – Seorang lagi individu warganegara Myanmar ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung kes membawa masuk warga asing ke negara ini tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, hari ini.

Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan.

“Reman terhadap suspek ini susulan penahanan 11 individu termasuk empat penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa yang berkhidmat di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu lalu menerusi Op Pump yang dijalankan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Kesemua yang ditahan dipercayai terbabit rasuah membabitkan sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan yang sepatutnya,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, susulan tangkapan tersebut, SPRM turut menyita 1 unit telefon bimbit.

Dalam pada itu, SPRM turut mendapat kebenaran menyambung reman seorang individu warganegara Myanmar selama lima hari sehingga 29 Ogos 2024.

Perintah sambung reman terhadap suspek yang berusia lingkungan 30-an dikeluarkan Penolong Pendaftar Nadiah Abd Razak selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.

Sebelum ini, suspek itu telah direman selama lima hari bermula 21 Ogos lalu bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.

Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button