Berita Semasa

Jangan cemas pesawat terbang rendah – TUDM

KUALA LUMPUR – Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah bermula esok.

TUDM dalam kenyataan hari ini berkata, ia sebagai persiapan bagi sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang akan diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos.

“TUDM telah dipertanggungjawabkan bagi mengetuai acara melibatkan segmen udara dan persembahan udara yang melibatkan pesawat udara khususnya pesawat milik TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Antara aset terlibat termasuk pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter. Turut sama terlibat adalah aset-aset udara pasukan keselamatan yang lain.

“Pesawat-pesawat udara yang terlibat dalam acara gemilang sambutan di peringkat negara ini akan memulakan latihan penerbangan taktikal bermula 27 hingga 31 Ogos 2024,” katanya.

Menurut TUDM, sepanjang latihan berlangsung, pesawat-pesawat tentera dan pasukan keselamatan akan melaksanakan penerbangan secara rendah di sekitar ruang udara Putrajaya dan negeri Selangor.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat- pesawat tentera khususnya pesawat TUDM dan ATM serta pasukan keselamatan lain terbang rendah di sepanjang tempoh latihan dilaksanakan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button