Berita Semasa

Tanah jerlus: Air di saluran kumbahan IWK Pantai Dalam dipam keluar

KUALA LUMPUR – Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah memulakan kerja-kerja pengepam keluar air di saluran kumbahan di Indah Water Konsortium (IWK) Kuala Lumpur di Pantai Dalam bagi mengesan mangsa kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Jumaat lalu.

Jurucakap JBPM berkata, proses tersebut merupakan sebahagian daripada prosedur yang perlu dilakukan sebelum anggota mencari dan menyelamat (SAR) dapat memasuki lurang kumbahan.

“Proses mengepam keluar air di saluran kumbahan telah bermula pada tengah hari tadi, selepas itu baru anggota kami dapat memasuki lurang kumbahan (manhole) yang biasanya dipenuhi air dan sangat mencabar,” katanya.

Memetik laporan Awani, operasi SAR yang masuk hari ketiga hari ini memberi tumpuan kepada dua lurang kumbahan di Jalan Melayu dan persimpangan Jalan Melayu.

Operasi SAR membabitkan agensi seperti JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan IWK.

Jumaat lalu, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter.

Show More

Related Articles

Back to top button