Berita SemasaPolitik

Kerajaan sasar miliki armada digital terbaik dunia

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membuat transformasi domain-domain ketenteraan termasuk pelaburan besar-besaran bagi membangunkan satu lagi ketumbukan atau cabang pertahanan negara yang dinamakan Armada Digital.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian itu (MINDEF) mengambil berat terhadap kepentingan pertahanan siber dan tidak akan sesekali berkompromi dalam soal keselamatan dan kedaulatan negara.

“Saya dan kementerian sedang dalam pendekatan untuk membangunkan ketumbukan armada digital secara besar-besaran kerana ancaman dan peperangan pada masa akan datang akan tertumpu di persada alam maya.

“MINDEF sangat mengambil berat perkara ini dan akan membuat pelaburan yang besar dalam masa beberapa tahun akan datang bagi memastikan arrmada digital kita adalah yang terbaik di dunia,” katanya.

Belaiu berkata demikian dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.

Mohamed Khaled Nordin pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam

Dalam ucapannya itu, Mohamed Khaled mendokong penuh amanat oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan menegaskan beberapa perkara perlu diterapkan oleh seluruh ahli parti bersandarkan realiti politik kemajmukan.

Katanya, yang pertama adalah untuk mewujudkan kerjasama dan dengan terbuka berkongsi kuasa dengan parti lain tanpa mengorbankan matlamat asal parti.

“Hakikatnya kekuatan UMNO tidak memadai untuk kita memerintah sendirian,” katanya.

Kedua kata beliau, orang Melayu juga perlu berhadapan dengan masa depan politik dengan yakin tanpa perlu rasa takut kepada mana-mana pihak.

“Takkanlah kita takut dengan PAS, BERSATU atau DAP. Dengan segala pengetahuan dan pengalaman yang kita ada takkanlah kita cepat melatah atau dipengaruhi omong-omong politik yang dangkal,” ujar Mohamed Khaled.

Katanya, Malaysia sebagai sebuah negara berpelembagaan mempunyai instrumen yang kukuh sebagai benteng yang dapat melindungi orang Melayu.

“UMNO sebagai parti yang telah dewasa dan matang tidak akan membiarkan orang Melayu daripada menjunam dan Islam terancam.

“Kita ada raja berpelembagaan, institusi kerajaan yang hampir kesemuanya diketuai orang Melayu, kita ada penjawat awam dan jangan lupa kita ada Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini,” katanya.

Ketiga tegas beliau, UMNO dan seluruh bangsa Melayu mesti bersungguh-sungguh membangunkan ketahanan bangsa melalui pendidikan dan kemahiran yang bersandarkan kebolehsaingan.

“Kita mesti menjadikan generasi Melayu itu lebih baik, lebih berilmu dan lebih global. Kita tidak lagi boleh menggunakan bangsa dan agama, sebagai senjata untuk memenangi persaingan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button