Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Kerajaan Pusat diminta nilai semula potensi ketum untuk eksport

ALOR SETAR – Kerajaan Persekutuan diminta mengambil serius mengenai potensi daun ketum sebagai sumber komoditi baharu untuk dieskport secara sah bagi meningkatkan ekonomi rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani, berkata ini berikutan pasaran daun itu sangat besar dan ia sudah dijadikan sebagai salah satu alternatif perubatan di negara jiran Thailand.

Katanya, hasrat mengeksport ketum secara sah pernah disuarakan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 2022, namun sehingga kini belum ada sebarang keputusan mengenainya.

“Perkara ini terletak kepada persetujuan Kerajaan Pusat… baru-baru ini kita buat mesyuarat dengan semua EXCO Pertanian dari seluruh negeri bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Dalam mesyuarat itu dibangkitkan semula mengenai daun ketum dan menteri ambil maklum dan akan dibincang secara halus untuk membolehkan tanaman ketum ini dijadikan hasil pendapatan kerana pasarannya besar,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Dzowahir berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhamad Amri Wahab (PN-Derga) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata ketum kini bukan sahaja digunakan di Thailand, malah negara Barat seperti Jerman turut menjadikannya sebagai produk perubatan.

“Di Jerman mereka namakan produk ketum sebagai kretum dan pada botol itu pula ditulis (dilabel) sebagai ‘Malay product’.

“Jadi saya ambil kesempatan ini agar kerajaan mengambil serius tentang potensi ketum ini sekiranya dapat diusahakan secara terkawal bukan saja untuk manfaat pendapatan penduduk tapi juga sumber perubatan untuk orang ramai,” katanya.

Pada November 2022, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata Kedah akan meneruskan usaha mendapatkan kebenaran melakukan aktiviti mengeksport daun ketum ke Thailand secara sah daripada kerajaan Persekutuan bagi membantu meningkatkan ekonomi rakyat di negeri itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri yakin usaha itu akan dapat direalisasikan sekiranya rakyat memberi kepercayaan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam nada berseloroh, Muhammad Sanusi yakin sekiranya daun ketum dibenarkan dieksport ramai penduduk di Kedah boleh jadi jutawan.

Show More

Related Articles

Back to top button