Berita SemasaPolitik

Puteri UMNO mahu had keahlian dinaikkan kepada 40 tahun

KUALA LUMPUR – Puteri UMNO mencadangkan had umur bagi keahlian pergerakan itu dilanjutkan kepada 40 tahun berbanding 35 tahun ketika ini.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, cadangan itu perlu diberi perhatian oleh kepimpinan tertinggi parti bagi memastikan kelangsungan dan masa depan parti.

“Ada yang mencadangkan supaya usia Puteri dilanjutkan kepada 40 tahun. Usul itu telah dibawa bertahun-tahun. Namun, ada juga yang berpandangan usia sepatutnya dikurangkan.

“Oleh itu, saya mohon pandangan semua perwakilan dan pembahas untuk sama-sama kita bincangkan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Puteri UMNO di sini, semalam.

Pada hari yang sama, Nurul Amal turut melancarkan Project Next GenZ, inisiatif bagi menarik sokongan golongan muda kepada UMNO khususnya pengundi berusia 18 tahun ke atas.

“Inisiatif itu bertujuan menggalakkan penglibatan belia dalam politik, melatih mereka sebagai pemimpin serta menyediakan generasi pelapis Puteri UMNO yang akan datang.

“Ia menandakan permulaan babak baharu dalam penglibatan kepimpinan anak muda di Malaysia.

“Kita optimis terhadap impak positif yang akan dibawa oleh Project Next GenZ kepada pemimpin masa depan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button