Berita SemasaPolitik

Bendera Sang Saka Bangsa dinaikkan, bermulanya PAU 2024

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 membuka tirai hari ini dengan upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Dataran Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada pukul 8 pagi ini.

Upacara menaikkan bendera itu disempurnakan oleh Presiden UMNO, Datuk Dr. Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan kehadiran semua kepimpinan parti.

Turut bersama dalam acara itu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajid Dusuki.

Perhimpunan pemimpin-pemimpin UMNO di dataran itu pada pagi ini bermula dengan nyanyian lagu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Pergerakan Wanita UMNO diketuai oleh Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad, Pergerakan Pemuda UMNO oleh Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Pergerakan Puteri UMNO oleh Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Hadir sama menyaksikan upacara menaikkan bendera ini adalah Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda, Exco Pergerakan Puteri UMNO dan para perwakilan.

PAU 2024 yang telah berlangsung sejak 21 Ogos lalu menghimpunkan 6,341 perwakilan dari 191 bahagian di seluruh negara.

Upacara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ akan disusuli dengan Ucapan Dasar Presiden seterusnya perbahasan para perwakilan sehingga 24 Ogos ini.

Show More

Related Articles

Back to top button