Berita Semasa

Daerah Pendang dikenal pasti kawasan paling ramai penagih dadah

Data yang ada digunakan bagi merancang pendekatan baharu banteras penagihan

KUALA LUMPUR – Daerah Pendang di Kedah dikenal pasti sebagai daerah yang mempunyai penagih dadah tertinggi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan nisbah bagi 100,000 orang penduduk, daerah tersebut mencatat lebih daripada 1,300 penagih dadah, berbanding kadar nisbah ideal iaitu sekitar 400 orang.

Tambahnya, daerah kedua tertinggi mempunyai kumpulan penagih dadah adalah di Machang, Kelantan, diikuti Marang, Dungun, Kemaman serta Besut di Terengganu.

“Sumber data kumpulan penagih dadah ini kita peroleh daripada empat sumber iaitu Jabatan Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pusat pemulihan narkotik swasta.

“Kita tidak akan mensia-siakan data yang ada ini dan perancangan menerusi pendekatan baharu akan dilaksanakan di daerah-daerah tersebut bagi menangani isu dadah dengan lebih baik.

“Setelah lebih empat dekad negara berusaha memerangai isu dadah, elemen baharu yang digunakan harus berbeza berbanding cara lama,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Dialog Khas PDRM II sempena Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2024 (AISSE24), di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Pada majlis sama, turut diadakan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara PDRM bersama Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk kerjasama strategik.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, terdapat beberapa faktor menjadi penyumbang kepada kegiatan penagihan dadah di negara ini.

Jelas beliau, aspek pendidikan, faktor pekerjaan serta latar belakang keluarga menjadi penyebab berlakunya kes penagihan dadah dalam masyarakat.

Sehubungan itu katanya, kaedah atau langkah seterusnya yang perlu digerakkan oleh agensi penguat kuasa adalah mengenal pasti sasaran berdasarkan data diperoleh.

Jelasnya, berdasarkan kemajuan teknologi dan perkembangan penghasilan dadah sintetik, cara menangani perkara itu juga perlu berbeza.

“Kita perlu melakukan perancangan yang lebih spesifik berdasarkan garis masa ditetapkan dan menggunakan kemahiran pihak pakar dalam menangani isu dadah di negara ini,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button