Berita Semasa

[VIDEO] Sambutan Hari Kebangsaan: Pengunjung boleh gunakan teksi air untuk mudahkan pergerakan

PUTRAJAYA – Pengunjung yang mengunjungi sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos nanti akan dapat menggunakan perkhidmatan pengangkutan teksi air secara percuma.

Perkhidmatan tersebut yang disediakan di lima lokasi, akan dapat memudahkan pergerakan pengunjung dari kawasan parkir ke lokasi sambutan.

@malaysiatribune

Perkhidmatan teksi air akan disediakan pada sambutan Hari Kebangsaan bagi memudahkan pergerakan pengunjung. #malaysiatribune

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, lokasi itu adalah di jeti Monumen, Anjung Floria, jeti Kelab Tasik Putrajaya, jeti Ayer 8 dan jeti Marina.

“Pada 31 Ogos ini kita sediakan perkhidmatan ini secara percuma untuk orang ramai bermula dari jam 5 pagi hingga 12 tengah hari.

“Semua yang akan hadir untuk sambutan Hari Kebangsaan perlu manfaatkan kemudahan percuma ini yang boleh didapati lima lokasi ini,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Sejurus sidang akhbar tersebut, pengamal media turut diberi peluang merasai perkhidmatan teksi air berkenaan bersama Fahmi.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 turut mengajak orang ramai untuk memeriahkan Floria Diraja Putrajaya 2024 yang bermula esok sehingga 1 September ini di Pesisiran Tasik, Presint 2.

“Kita ambil maklum bahawa Floria Diraja Putrajaya 2024 akan bermula esok, dan sempena Hari Kebangsaan pada Sabtu ini, orang ramai boleh ambil kesempatan melawat program ini,” katanya lagi.

Floria Diraja Putrajaya 2024 bertemakan ‘Raikan Bersama, Celebrate Together!’ akan mempamerkan lebih 500 jenis orkid daripada pelbagai spesies dan hibrid pelbagai warna termasuk lebih 15 koleksi orkid khas yang terdiri daripada nama-nama Diraja dan orang kenamaan.

Acara itu bermula 9 pagi hingga 10 malam pada Isnin hingga Khamis, manakala 9 pagi hingga 12 tengah malam pada Jumaat hingga Ahad.

Show More

Related Articles

Back to top button