Berita Semasa

Selit selipar celah lif punca dua kanak-kanak terperangkap

KUALA LUMPUR – Kejadian dua kanak-kanak terperangkap di dalam lif selama 11 jam di Flat Desa Petaling kelmarin dipercayai berpunca daripada tindakan kanak-kanak berkenaan meletakkan selipar di antara pintu lif.

Punca kejadian itu didedahkan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuatnaik oleh pihak pengurusan bangunan flat menunjukkan salah seorang daripada kanak-kanak berkenaan meletakkan selipar di celah pintu lif sebelum ia tertutup.

Tindakan itu menyebabkan sistem ‘auto lock’ lif berkenaan diaktifkan dan lif yang pada mulanya berfungsi dengan baik terhenti operasi.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa tiada sebarang kerosakan pada lif terbabit dan insiden ini berpunca sepenuhnya daripada tindakan tidak bertanggungjawab kanak-kanak tersebut.

Berita kehilangan dua kanak-kanak lelaki itu sebelum ini mencetuskan kebimbangan ramai sehingga mereka ditemui di dalam lif selepas terperangkap selama hampir setengah hari.

Kedua-dua mereka dilaporkan tertidur di dalam lif berkenaan kerana kelaparan.

Sebelum itu, ibu kepada salah seorang kanak-kanak, Fospaliza Md Sariff berkongsi di laman Facebook tentang anaknya Faiq Adiwira 11 bersama rakan Absyar 10, tidak pulang ke rumah selepas keluar membeli pau.

Sementara itu, ruangan komen pada hantaran video rakaman CCTV berkenaan dipenuhi pelbagai reaksi daripada warganet.

Ada yang mengkritik pihak keselamatan kerana didakwa tidak peka, manakala yang lain berharap insiden ini menjadi pengajaran berguna buat kedua-dua kanak-kanak tersebut.

Insiden tersebut juga diharap menjadi peringatan tentang bahaya vandalisme dan menyedarkan ibu bapa untuk sentiasa memantau pergerakan anak-anak di kawasan awam.

Show More

Related Articles

Back to top button