Jenayah & Mahkamah

Suspek utama kes pembunuhan tiga sekeluarga dituduh di mahkamah

MUAR – Suspek utama kes pembunuhan ibu bapa serta anak saudaranya lalu membakar sebuah rumah di Kampung Paya Redan di Pagoh pada 9 Ogos lalu, dituduh di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh, Azman Mohamed Nor, 48, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Tertuduh didakwa membunuh bapanya Azman Mohamed Nor, 82; ibunya, Ara Abdul Hamid, 76, dan anak saudaranya Noradriana Nor Hasyim, 11, dengan kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Sekolah Kampung Paya Redan Pagoh antara 1 pagi hingga 3 pagi, 9 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun serta maksimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, tertuduh yang masih bujang itu turut didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas Norazmina Mohd Razi, 14, dengan menggunakan sebatang kayu yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh, kemudiannya membuat pengakuan salah dihadapan Hakim Nariman Badruddin, sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir kemudian memohon tarikh baharu bagi serahan fakta kes, manakala Azman tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian menetapkan 29 September depan bagi penetapan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Arif Marzuki dan Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Show More

Related Articles

Back to top button