Berita Semasa

Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 MINDEF suntik penghayatan cintakan tanah air

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merasmikan pelancaran Kibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 peringkat Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Wisma Pertahanan di sini.

Sambutan bertemakan “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” pada kali ini menekankan semangat perpaduan dan jati diri yang utuh dalam kalangan rakyat, khususnya warga MINDEF untuk terus mempertahankan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan Jalur Gemilang kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman pada Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2024 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam

Majlis pelancaran dimulakan dengan penyerahan Jalur Gemilang oleh Menteri Pertahanan kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman yang mewakili warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak, mewakili kakitangan awam MINDEF. Penyerahan itu merupakan simbolik pelancaran rasmi sambutan Kemerdekaan Peringkat MINDEF Tahun 2024.

Lebih 550 warga MINDEF terdiri daripada pengurusan tertinggi, pegawai, anggota ATM dan kakitangan awam melafazkan ikrar Rukun Negara yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Eqram Mohd Rosli pada majlis itu.

Acara dimeriahkan dengan perarakan beberapa aset kenderaan ATM dan MINDEF dengan paluan ‘drumline’ oleh anggota Markas Tentera Udara. Menteri Pertahanan juga diberi penghormatan melakukan ‘flag off’ sebagai simbolik melepaskan perarakan aset kenderaan milik ATM.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat reruai pada Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2024 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam.

Mohamed Khaled kemudian meluangkan masa melawat Sudut Khas Pameran Kemerdekaan di Lobi Utama Wisma Pertahanan. Pameran itu menampilkan pelbagai inovasi daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, termasuk Projek Smart Unmanned Aerial Vehicle (UAV) daripada Tentera Darat Malaysia, Mobile Comint dari Bahagian Siber Elektromagnetik Tentera Laut Diraja Malaysia, serta SLOPT dan RWR B-SENSING dari Tentera Udara Diraja Malaysia.

Majlis turut dihadiri oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM; Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Dr. Mohd Bakhari Ismail; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Datin Roszanina Wahab, Timbalan Panglima Tentera Darat yang mewakili Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim serta pegawai-pegawai kanan ATM, pengurusan tertinggi dan warga MINDEF.

Mohamed Khaled dalam ucapannya menekankan kepentingan menghayati erti kemerdekaan dengan mempertahankan identiti negara yang unik melalui nilai-nilai kemanusiaan.

“Cara terbaik menyambut Bulan Kebangsaan adalah dengan memberi makna kepada sebuah kemerdekaan dan apalah makna sebuah kemerdekaan, jika bangsa dan negara tidak dipimpin dan dicirikan dengan nilai-nilai yang unggul, nilai-nilai yang baik.

“Kita perlu kekalkan sebuah negara yang mempunyai identiti sendiri dan ini boleh dicapai melalui nilai-nilai kemanusiaan, atas pendekatan kemanusiaan ini kita telah membawa masuk rakyat Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di sini,” katanya.

Mohamed Khaled turut menyeru supaya seluruh warga Malaysia mesti berkerjasama dalam semua perkara dengan menjauhkan diri daripada segala anasir atau pemikiran taasub serta sentimen yang boleh memecah-belahkan negara kita.

“Saya berharap sambutan hari kebangsaan pada tahun ini menjadikan kita warganegara yang benar-benar memahami dan memaknai erti kemerdekaan.” katanya lagi.

Sementara itu, erti kemerdekaan turut dikongsi beberapa orang anggota melalui definisi dan penghayatan tersendiri.

Ahmad Ariffin, kakitangan Bahagian Kewangan MINDEF berkata, sambutan bulan kebangsaan yang dihadiri pada setiap tahun menjadi bukti kecintaan beliau sebagai seorang rakyat dan juga kakitangan awam yang bertugas di MINDEF.

“Sebagai anak bangsa saya sangat berbangga dapat meraikan hari kebangsaan pada setiap tahun,” katanya lagi.

Bagi Leftenan Kolonel Mohd Rizal Mohd Nor TUDM, sambutan Hari Kebangsaan adalah lambang kesetiaan seluruh rakyat Malaysia kepada Yang di-Pertuan Agong atas nikmat kebebasan dan keamanan yang dikecapi.

“Saya pernah berkhidmat di luar negara, ternyata di luar sana tidak sama seperti di Malaysia. Bak kata pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri’, sebab itu saya sangat bersyukur,” katanya kepada Malaysia Tribune semalam.

Pembantu Tadbir Bahagian Audit Dalam Pertahanan MINDEF, Ira Syarida Ramli berkata, erti sebuah kemerdekaan bukan hanya terletak pada kebebasan tetapi perlu mengadaptasi pencapaian untuk lebih maju.

Sementara itu seorang lagi Pembantu Tadbir Bahagian Audit Dalam Pertahanan MINDEF, Fatimah Jusoh pula berpendapat kemerdekaan memberikan erti yang lebih bermakna apabila sesebuah negara bangsa dapat mengungguli pencapaian terdahulu.

“Bukan hanya dari segi keamanan dari perang, tetapi kita juga harus berganjak dari negara membangun ke arah negara maju,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button