Berita Semasa

MPox: KKM belum bercadang perkenal program vaksinasi

GEORGE TOWN – Kementerian Kesihatan (KKM) belum bercadang untuk memperkenalkan program vaksinasi khusus untuk penyakit cacar monyet atau lebih dikenali sebagai MPox di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, ini kerana jangkitan MPox boleh dielakkan jika seseorang individu mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengikut garis panduan kesihatan yang ditetapkan.

“Setakat ini kita tidak ada bercakap (berbincang) berkenaan tentang vaksin ini dan juga sekiranya ada (program vaksinasi) kita akan kaji sepenuhnya keperluan berkenaan MPox ini.

“Kalau kita lihat pada garis panduan, jangkitan boleh dielak sekiranya individu melakukan langkah langkah berhati-hati, (menjaga) kebersihan kendiri dan proses-proses lain.

“Kalau kita lihat, simptom jangkitan MPox ini agak nampak jelas daripada sudut fizikal terutama sekali tompok di badan dan pesakit sendiri boleh merasakan kesan MPox,” katanya selepas merasmikan Persidangan Saintifik Kesihatan Sempadan Malaysia-Thailand ke-34, di sini hari ini.

Ketika ini, KKM trutu berhubung dengan kesemua negara ASEAN berhubung perkembangan penyakit itu dan tiada sekatan atau halangan ke luar negara dikeluarkan berkaitan kes MPox.

“Selain kenyataan rasmi, KKM juga sudah mengeluarkan garis panduan terutama kaedah perawatan yang boleh digunakan untuk merawat mpox.

“Kita juga kita sedang berhubung dengan kesemua negara ASEAN dan juga kita memang mengawal sepenuhnya pintu masuk bagi mengetahui jangkitan (penyakit) yang sedang berlaku di negara jiran,” katanya.

KKM akan terus melakukan pemantauan rapi berkenaan isu penyakit tersebut dan tiada kes baharu membabitkan jangkitan MPox meskipun ia pernah dilaporkan berlaku di negara ini tahun lalu.

“Menteri dan juga KPK (Ketua Pengarah Kesihatan) sendiri akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa dan juga kita tidak ingin mewujudkan keadaan panik,” katanya.

Beliau turut berkata, maklumat berkaitan MPox boleh disemak di laman rasmi KKM, selain pihaknya turut memanfaatkan media sosial untuk menguar-uarkan bentuk, ciri-ciri dan langkah menangani jangkitan berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button