Berita SemasaPolitik

ISU 3R : Pucuk pimpinan BERSATU serah kepercayaan kepada Muhyidin

KUALA LUMPUR – Pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedang memperhalusi isu melibatkan ucapan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan raja) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri baru-baru ini.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya memberi kepercayaan penuh kepada Muhyiddin untuk memberi keterangan kepada pihak polis.

“BERSATU memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin selaku Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bahawa beliau akan menghormati lunas perundangan dengan hadir memberikan keterangan kepada pihak berkuasa pada hari esok.

“Semua pihak juga diseru supaya bertenang dan berdoa kepada Allah SWT agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik, adil dan saksama berasaskan lunas undang-undang
negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin dalam satu ceramah di PRK DUN Nenggiri pada 14 Ogos lalu dikatakan telah menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila mempertikaikan keputusan baginda ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Susulan itu, polis menerima 29 laporan daripada pelbagai pihak terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

Semalam, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Al-Sultan Abdullah.

 

Show More

Related Articles

Back to top button