Luar Negara

Biden ikrar tamatkan perang di Gaza

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berikrar untuk menamatkan perang di Semenanjung Gaza dan membawa pulang tawanan.

Memetik laporan Agensi Anadolu, Biden berkata, beliau akan terus berusaha membawa pulang tawanan, menamatkan perang di Gaza, serta membawa keamanan serta keselamatan ke Asia Barat.

“Kami bekerja sepanjang masa… untuk menghalang perang yang lebih meluas, menyatukan kembali tawanan dengan keluarga mereka dan meningkatkan bantuan kemanusiaan serta makanan di Gaza untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin dan akhirnya mencapai gencatan senjata serta mengakhiri perang ini,” katanya.

Biden berkata demikian pada malam Konvensyen Kebangsaan Parti Demokrat di Chicago, Illinois, semalam.

Sementara itu, ribuan penunjuk perasaan pro-Palestin berkumpul di Chicago mendesak penamatan sokongan AS terhadap perang Israel di Gaza, dengan lebih 40,000 rakyat Palestin terbunuh.

Penunjuk perasaan berarak melalui pusat bandar Chicago, sambil melaungkan slogan seperti “Free free Palestine (Bebaskan, bebaskan Palestin)”, beberapa jam sebelum Biden dijadual berucap di konvensyen itu.

“Penunjuk perasaan di jalanan, mereka ada hujahnya. Ramai orang yang tidak bersalah terbunuh, membabitkan kedua-dua belah pihak,” kata Biden.

Show More

Related Articles

Back to top button