Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Muhyiddin akan dipanggil Bukit Aman esok – KPN

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapan beliau yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bekas perdana menteri itu akan dipanggil pada Selasa ini susulan ucapan beliau itu dan pihaknya telah menerima 29 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.

“Kita memanggil beliau untuk tampil beri keterangan pada 20 Ogos bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, lapor Kosmo! hari ini.

Semalam, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin Yassin.

Ia berikutan ucapannya yang secara sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titahnya, kenyataan Muhyiddin telah memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

Show More

Related Articles

Back to top button