Berita Semasa

Kenyataan Muhyiddin: Tengku Hassanal murka, gesa PDRM jalankan siasatan

KUALA LUMPUR – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah murka dan terkilan atas tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memperlekeh serta mempertikai peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Justeru itu, Tengku Hassanal mahu pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap bekas Perdana Menteri itu yang secara terang-terangan menyentuh sentimen raja, agama dan kaum (3R).

Tengku Hassanal bertitah, kenyataan Presiden Bersatu itu sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.

Selain itu, Baginda turut menyifatkan kenyataan Muhyiddin sebagai tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan bahawa beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Titah baginda dalam kenyataan tersebut, adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat.

“Berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.”

“Perkara 43(2) menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut,” titah Tengku Mahkota Pahang menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Abdulaziz, Kuantan.

Titah Baginda lagi, Al-Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri walaupun perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.

Baginda semasa itu telah memanggil pakar-pakar perlembagaan, penjawat awam utama negara dan yang terakhir turut secara musyawarah mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja dan akhirnya barulah pelantikan Perdana Menteri semasa itu dibuat.

Baginda bertitah Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022.

Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah semasa baginda memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Baginda menasihatkan kepada semua ahli politik, selaku pemimpin rakyat, mestilah sentiasa berpegang teguh pada Prinsip Rukun Negara dan terus-menerus untuk sentiasa menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju, cemerlang ekonomi, alam sekitarnya lestari dan rakyatnya Bahagia,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan yang dikeluarkan Istana Abdulaziz, Kuantan.
Kenyataan yang dikeluarkan Istana Abdulaziz, Kuantan.

Terdahulu, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos lalu.

Sehubungan dengan itu, Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syafiq Hamzah membuat laporan di Balai Polis Kuantan.

Show More

Related Articles

Back to top button