Berita Semasa

Kanak-kanak hilang sejak Jumaat ditemukan maut

SUNGAI SIPUT – Jasad budak perempuan berusia 10 tahun ditemukan dalam kawasan berpaya di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini selepas dilaporkan hilang sejak kelmarin.

Jasad Allahyarham Nuraina Humaira Rosli, yang juga murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu, ditemukan dalam keadaan terbaring pada kira-kira pukul 4.20 petang semalam selepas dilapor hilang ketika bermain di kawasan sekitar perkampungan itu, pada hari sebelumnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, maklumat kehilangan mangsa diterima daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) pada kira-kira pukul 1.20 pagi semalam selepas kanak-kanak itu dikatakan tidak pulang sejak petang Jumaat.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan sejak pagi semalam termasuk dengan menggunakan bantuan unit anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bantuan dari beberapa agensi serta penduduk setempat.

“Pencarian mangsa yang dimulakan pagi semalam dibuat dalam radius sekitar 2 kilometer sebelum mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam yang turut mengikuti operasi pencarian sekitar 4.20 petang.

“Mangsa ditemukan terbaring di kawasan berpaya berhampiran perkampungan itu dengan jarak antara 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di perkampungan terbabit, ” katanya, hari ini.

Pasukan perubatan yang tiba kemudiannya mengesahkan kematian mangsa, di sekitar pukul 7 petang sebelum jasad mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput bagi menjalani proses bedah siasat.

Ditanya sama ada insiden ke atas mangsa berpunca daripada binatang buas, Mohd Khaizam berkata, setakat kini pemerhatian secara mata kasar ke atas jasad kanak-kanak itu mendapati tiada kesan yang menunjukkan sebagai mana andaian itu.

“Tiada kesan (binatang buas) berdasarkan pemerhatian mata kasar. Bagaimanapun bedah siasat yang dijadualkan di Hospital Sungai Siput hari ini, dengan bantuan pakar forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Jadi buat sementara ini kematian mangsa diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil keputusan bedah siasat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button