Berita Semasa

Kerjaya tentera menuntut amanah, kejujuran dan taat setia kepada negara – Agong kepada ATM

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, mengingatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bahawa kerjaya ketenteraan menuntut amanah, kejujuran, pengorbanan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi demi mempertahankan kedaulatan negara.

Titah Seri Paduka Baginda, kedaulatan dan maruah negara akan tergadai jika amalan rasuah dan salah guna kuasa berleluasa.

“Justeru itu, jangan sekali-kali ada pegawai tentera yang terlibat dalam amalan rasuah terutamanya melibatkan urusan pembelian peralatan dan kontrak kerajaan.

“Selaku Pemerintah Tertinggi ATM, saya tidak akan memberi muka kepada mereka yang gagal melaksanakan amanah sebagai seorang pegawai tentera.

“Saya juga pernah menjalani pelbagai latihan ketenteraan, oleh itu, jangan nak temberang,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian sewaktu Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM 2024 di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah bahawa kerajaan perlu sentiasa menitikberatkan amanah dalam semua urusan pembelian peralatan dan pembinaan kemudahan tentera.

“Peralatan yang ingin dibeli mestilah bermutu tinggi dan memenuhi kehendak pasukan dan keperluan pertahanan negara, bukannya mengikut telunjuk pembekal atau agen yang menawarkan komisen.

“Saya sendiri yang akan menilai semua perolehan,” titah Seri Paduka Baginda.

Dalam istiadat hari ini, seramai 664 pegawai kadet yang ditauliahkan yang terdiri daripada mereka yang menamatkan latihan di Akademi Latihan Ketenteraan, Akademi Tentera Darat, Kapal Diraja Sultan Idris Pertama dan Kolej Tentera Udara-Sekolah Latihan Pegawai selama enam bulan.

Dalam pada itu, Leftenan Muda Ahmad Arif Izudin Mohamad Zin telah diiktiraf sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan.

Show More

Related Articles

Back to top button