Berita Semasa

Belum peti undi ditutup, peratusan keluar mengundi PRK Nenggiri atasi Sg Bakap

GUA MUSANG – Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mencecah 63.58 peratus setakat jam 2 petang ini, maklum Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Peratusan itu sekali gus menyaksikan ia lebih tinggi berbanding peratus keluar mengundi PRK Sungai Bakap iaitu 63.45 peratus yang dicatatkan pada Julai lalu.

Selain itu, sasaran SPR yang menyasarkan peratusan keluar mengundi melebihi 60 peratus juga berjaya dicapai.

Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Perdana, Majlis Daerah Gua Musang dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan dapat diumumkan seawal jam 9 malam.

Dijangkakan, seramai 20,216 pengundi akan keluar mengundi hari ini dengan 20 pusat mengundi serta 46 saluran telah dibuka seawal jam 8 pagi tadi.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK DUN Nenggiri diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu, selepas bekas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Show More

Related Articles

Back to top button