Berita Semasa

41 rakyat Palestin mangsa serangan kejam Zionis diberi rawatan segera di Hospital ATM

KUALA LUMPUR – Seramai 41 rakyat Palestin berumur 8 bulan hingga 62 tahun yang cedera dan merupakan mangsa serangan rejim haram Zionis telah selamat tiba di negara kita.

Menurut Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, kesemua mereka dipindahkan menggunakan dua buah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diterbangkan dari Kaherah, Mesir.

Katanya, mereka turut diiringi 86 waris dan telah tiba di Pangkalan Udara Subang selepas solat Jumaat hari ini.

“Mangsa-mangsa yang cedera telah selamat ditempatkan di pusat rawatan yang disediakan oleh Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mula menerima rawatan segera.

“Seramai 75 anggota ATM terlibat dalam misi ini adalah daripada kalangan petugas kesihatan, krew penerbangan dan kumpulan pengurusan. Mereka turut disokong oleh 295 lagi anggota ATM lain di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, misi kemanusiaan itu diusahakan oleh kerajaan Malaysia atas pertimbangan yang sangat jelas dan tegas.

“Selain pertimbangan kemanusiaan serta bagi menzahirkan kebersamaan warga Malaysia kepada semua mangsa kekejaman serta penjajahan ke atas negara Palestin, misi ini menegaskan pendirian Malaysia yang sentiasa menentang keras segala tindakan bersifat pencerobohan, dasar aparteid, pembunuhan beramai-ramai serta penafian hak asasi oleh para penjenayah perang yang bebas melanggar norma dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

41 rakyat Palestin mangsa serangan kejam Zionis tiba di Malaysia untuk diberi rawatan segera di Hospital ATM

Dalam pada itu, beliau turut merakam penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerja keras bagi menjayakan misi ini, khususnya kerajaan Malaysia, Mesir, Palestin, ATM dan semua pengamal media.

“Semoga sumbangan dan usaha kecil kita ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka yang sedang diuji dengan penganiayaan dan penindasan.

“Pada hari yang penuh keberkatan ini, saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus menitipkan doa agar keamanan dan kemerdekaan segera berpihak kepada Palestin,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button