Berita Semasa

Fahmi sekali lagi tegaskan tidak pernah arah Google tutup graf penukar ringgit

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, sekali lagi menafikan dakwaan yang mengatakan beliau telah mengarahkan Google menutup ciri graf pertukaran nilai mata wang ringgit di platform enjin cariannya.

Fahmi dalam satu kenyataan di x menegaskan, beliau tidak pernah mengarahkan penyedia perkhidmatan itu melakukan perkara tersebut.

“Saya tidak pernah arah Google tutup ‘currency exchange’ (pertukaran mata wang) di search box (kotak carian) seperti yang saudara tuduh,” katanya bagi menjawab tuduhan pengguna X bernama Khairi Zulfadhli.

Terdahulu, pengguna X itu mengeluh kerana terpaksa menukar nilai mata wang ke dolar Singapura (SGD) terlebih dahulu sebelum menukar kepada ringgit.

“Fahmi Fadzil arahkan Google tutup ‘currency exchange’ di ‘search box’. Dah satu hal kena search SGD dulu, baru tukar ke MYR (ringgit Malaysia), ” dakwa pengguna berkenaan.

Jelas Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Google menurunkan ciri berkenaan selepas memperoleh maklum balas daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kesilapan data yang dipaparkan.

Terdahulu, Google sebelum ini dilaporkan berkata, syarikat berkenaan masih menjalankan ujian dengan pembekal data FX yang dikenal pasti dan akan kembalikan ciri itu bila mereka lebih yakin kesilapan data tidak lagi berulang, jelasnya.

Google sebelum ini telah melakukan kesilapan dalam menerbitkan data kadar pertukaran ringgit sebanyak dua kali tahun ini, iaitu pada 6 Februari dan 15 Mac lalu sehingga mengundang polemik di media sosial.

Show More

Related Articles

Back to top button