Politik

UMNO N9 nafi poster tular dakwa MB dilantik jadi Menteri Ekonomi

KUALA LUMPUR – Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menafikan poster yang tular di media sosial yang kononnya mendakwa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bakal dilantik sebagai Menteri Ekonomi yang baharu.

Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dalam satu kenyataan menegaskan bahawa poster tersebut adalah palsu, di samping menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi berita palsu tersebut.

“Berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan berita sebegini.

“Kenyataan yang tepat dan sahih daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan hanyalah melalui laman media sosial UMNO Perhubungan Negeri Sembilan atau TikTok umno_ns,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan, kerajaan akan melakukan rombakan Kabinet tidak lama lagi bagi menyusun semula barisan menteri termasuk pertukaran menteri yang kurang prestasi.

Selain itu, menurut portal tersebut, seorang menteri besar juga dipercayai akan mengambil jawatan menteri, langkah yang dibincangkan sebelum rombakan Jemaah Menteri pada Disember lalu.

Kali terakhir Jemaah Menteri dirombak pada Disember tahun lalu dan dibesarkan daripada 29 menteri kepada 31 menteri.

Show More

Related Articles

Back to top button