Sukan

Shah Firdaus gesa netizen Malaysia henti buli siber Nakano

SEPANG – “Saya ingat orang Malaysia baik-baik belaka,” demikian mesej yang disampaikan Shinji Nakano, pelumba basikal trek Jepun kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom selepas netizen Malaysia menyerang akaun Instagram miliknya.

Menurut pelumba basikal trek negara itu, tindakan netizen Malaysian itu adalah sesuatu yang memalukan negara, memandangkan dia dan Nakano bersahabat.

Jelas Shah Firdaus, permohonan maaf yang kononnya dari akaun TikTok pelumba Jepun itu sebenarnya adalah palsu.

“Malam semalam dia mesej saya, kata dia kena serang (di akaun media sosialnya)… saya pun tak tahu, apabila saya tengok, sudah berpuluh ribu komen.

“Saya harap netizen berhenti sebab perkara itu menjejaskan kami juga. Perkara itu memang berlaku perlanggaran dan ada pergeseran badan dan itu biasa dalam keirin dan sebenarnya dia tak berniat nak ‘hentam’ saya, itu sebab ‘G-force’.

“Bila ada ‘body contact’, ‘G-force’ itu nampak seperti dia naik tetapi dalam keirin benda itu biasa, tinggal jatuh atau tidak sahaja,” kata Shah Firdaus.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Hadir sama, atlet basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang serta Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Pada perlumbaan final keirin di Olimpik Paris 2024, Shah Firdaus menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam, walaupun pada suatu ketika dilihat berada di kedudukan untuk sekurang-kurangnya meraih gangsa.

Pada pusingan terakhir itu, berlaku perlanggaran antara Shah Firdaus dengan Nakano, yang mengakibatkan dia terjatuh.

Perlanggaran itu kemudian menimbulkan kemarahan netizen Malaysia yang bertindak menyerang akaun media sosial Nakano.

“Itu bukan TikTok Nakano, dia cakap perkara itu dengan saya. Kami jumpa selepas perlumbaan. Biasalah orang buat cerita. Tapi saya dengan dia baik sahaja, saya dengan dia tak ada masalah.

“Kalau saya ke Jepun, dia bawa saya jalan semua. Bila dia berasa begitu, saya rasa serba salah,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button