Isu komik Superman Hew, kerajaan perlu failkan permohonan semak semula keputusan – Pemuda UMNO
KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan pembatalan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’, tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh berkata, pihaknya tidak bersetuju pembatalan perintah larangan terhadap penerbitan komik itu sambil menambah, semakan semula keputusan terbabit adalah selaras dengan kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
“Mahkamah sudah membuat keputusan. Kami hormati keputusan mahkamah tetapi tidak bererti kami bersetuju.
“Bagi mengelakkan ketidakadilan, kami mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan ini,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang sebelum ini diwartakan pada 2019.
Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos lalu.
Berdasarkan warta itu, pembatalan Perintah Larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’ dan bahasa Cina.
Pada masa sama, Akmal berkata, keputusan mahkamah rayuan pada 26 Julai 2022 yang ketika itu kerajaan memerintah adalah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memutuskan bahawa komik ini tidak menjejaskan kententeraman awam.
Katanya, permohonan kerajaan untuk kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan larangan terhadap penerbitan komik itu gagal pada 8 Disember 2022.
“Siapa sekalipun kerajaan, sensitiviti majoriti rakyat Melayu Islam perlu diutamakan dan dipelihara untuk menjamin kestabilan negara ini,” katanya.