Berita Semasa

Kurang kasih sayang, penghayatan agama dikenal pasti antara punca utama kes buli

SHAH ALAM – Kurang kasih sayang dan penghayatan agama, latar belakang keluarga, persekitaran kerja serta pengaruh rakan sebaya dikenal pasti sebagai antara punca utama kejadian buli.

Menurut Kaunselor Pusat Kaunseling Selangor (PKS), Mohamad Fuad Mohd Ali, terdapat tiga jenis buli yang kerap berlaku iaitu secara psikologi, percakapan dan fizikal.

“Buli ini terlalu subjektif, tidak mengira umur, pangkat dan tahap pendidikan. Kebiasannya ciri seorang pembuli, pertama, kurang mendapat kasih sayang ataupun perhatian daripada keluarga.

“Faktor lain, pembuli ini didorong untuk membuli kerana kurang didikan agama, kalau dia tahu buli itu salah, dosa jadi dia tidak akan membuli.

“Selain itu, latar belakang keluarga. Contohnya, seorang ‘client’ saya, watak ibu bapanya yang menjadi guru disiplin, perkataan kasar yang dilontarkan mereka kepadanya ini akhirnya membawa ke sekolah, memaki kawan-kawan,” katanya.

Mohamad Fuad berkata demikian ketika muncul dalam program bual bicara Hai Selangor, hari ini.

Mohamad Fuad menambah mangsa buli berkemungkinan mengalami kesan jangka pendek dan panjang dalam tiga aspek iaitu fizikal, emosi dan dan tingkah laku.

“Kesan kepada fizikal membabitkan masalah kesihatan seperti sakit kepala, migrain, kerap berjaga dari tidur dan tidur yang tidak berkualiti.

“Bagi kesan kepada emosi pula membabitkan tekanan emosi, ketakutan, kebimbangan, kemurungan, rasa rendah diri serta rasa terancam.

“Kesan kepada tingkah laku pula perubahan sikap iaitu seorang yang mood ceria ke murung, prestasi kerja atau pelajaran merosot. Paling kritikal ada idea ingin membunuh diri, ini paling membimbangkan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button