Berita Semasa

Buang sampah : KPKT cadang pesalah jalani hukuman khidmat masyarakat

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meminda undang-undang untuk melaksanakan hukuman khidmat masyarakat kepada mereka yang didapati bersalah membuang sampah.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, undang-undang sedia yang mengenakan kompaun antara RM500 sehingga RM1,000 tidak begitu memberi impak kepada pesalah sehingga masalah itu berterusan.

“KPKT sedang dalam kajian menerusi pegawai undang-undang untuk pinda undang-undang bahawa pada masa akan datang siapa yang buang sampah akan buat khidmat sosial.

“Ini termasuk menyapu jalan di bawah matahari terik. Saya juga minta sosial media untuk buat iklan percuma beri amaran kepada ‘ulat-ulat’ sampah,” katanya melalui rakaman video dikongsikan di Facebooknya hari ini.

Selain itu, Kor Ming berkata, KPKT juga telah memberi peringatan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak memberi sebarang diskaun kepada kesalahan buang sampah.

“Siapa yang buang sampah, arahan telah dikeluarkan kepada pihak berkuasa tempatan bahawa tidak boleh bagi diskaun untuk kompaun buang sampah.

“Dengan cara ini kita pun boleh jimat kos untuk cuci kawasan. Kamu suka sangat buang sampah kamu pergi cuci. Saya rasa itu satu cara yang baik untuk kita mendidik,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu merupakan satu bentuk pendidikan berkesan dan telah dipraktikkan di beberapa negara maju untuk membina rasa kesedaran dan pengajaran.

“Saya lihat di beberapa negara maju, apabila ada kesalahan seperti ini, mereka dikenakan hukuman khidmat masyarakat dengan menyapu dan mengutip sampah di bawah matahari terik.

“Saya percaya jika kita dapat laksanakan, selepas beberapa kes nanti, tidak ada lagi yang berani untuk teruskan tabiat membuang sampah,” kata beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button